Seharian semalam sibuk dengan persiapan anak dara saya yang akan bertolak ke US pada jam 11.30pm. Kesibukkan tersebut telah melalaikan saya dari menyediakan bahan untuk dicoretkan di sini bagi mengisi 24 Ramadhan.
Selepas Asar kami bertolak ke KLIA dan pegawai-pegawai JPA yang bertugas telah sedia menunggu untuk proses terakhir pengaturan penerbangan. Beberapa sessi 'briefing', penyerahan passport dan boarding berlanjutan sehingga pukul 9.30pm. Kami sekeluarga sempat berbuka di Secret Recipe tingkat 5 KLIA.
Akhirnya, dengan perasaan sedih dan gembira kami menemani beliau melepasi 'boarding gate'. Keyakinan pada dirinya teserlah dengan langkah dan lambaian yang makin lama makin jauh serta hilang dari pandangan. Adiknya yang bongsu tidak dapat menahan kesedihan perpisahan ini dan tanpa segan silu menangis terisak-isak.
Moga Allah memberi perlindunganNya...
*********************************************
*********************************************
Namun bagi memenuhi ruangan tazkirah Ramadhan hari ini, saya catatkan sedikit perkongsian tentang perkataan 'Sembahyang' dan 'Solat' yang saya dengar dari tazkirah Maghrib di Masjid Kota Damansara seketika dahulu.
Hampir kebanyakan umat Islam hari ini tidak terlepas daripada menggunakan istilah "Sembahyang" yang merujuk kepada "Solat." Tetapi pada hakikatnya, istilah "Sembahyang" mempunyai maksud atau pengertian yang terdapat unsur "Syirik."
Professor Hasbi As Siddiqi di dalam salah satu bukunya, membahas perkataan "Sembahyang." Katanya; "Sembahyang di ambil daripada perkataan "Sembah" dan "Hyang" yang merujuk kepada nama dewa yang disembah oleh penganut Agama Hindu dahulu kala. "Sembahyang" juga diertikan sebagai "menyembah berhala yang bernama Hyang."
Dua pakar Bahasa Indonesia, yang salah seorangnya pernah datang ke Malaysia, mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu Dr Daniel juga telah mengesahkan bahawa istilah "Sembahyang" merujuk kepada "menyembah dewa yang bernama Hyang."
Orang Buddha pergi ke Tokong, Orang Hindu pergi ke Kuil dan Orang Kristian pergi ke Gereja menggunakan istilah "Sembahyang," terserahlah kepada mereka, kerana memang terdapat unsur "Syirik" dalam ibadah mereka. Tetapi Umat Islam, Tidak sesuai sekiranya, "Solat" juga diistilahkan sebagai "Sembahyang", yang mana pada asalnya kata sembahyang itu merujuk kepada "menyembah dewa bernama Hyang."
Kalau boleh ubahlah ayat seperti seorang ibu mengarahkan anaknya bangun untuk menunaikan Solat Subuh. "Bangun nak, Sembahyang Subuh," kepada "Bangun nak, "Solat Subuh." Solat lebih tepat istilahnya.
Mungkin sebahagian daripada kita, akan menganggap bahawa hal ini adalah remeh dan tidak begitu penting asalkan nawaitu dan hati kita betul. Namun bagi mereka yang mempunyai kesedaran dan mementingkan kualiti ibadah, akan sentiasa berhati-hati dan mengambil perhatian akan hal seperti ini.
SEBARKAN . . . Semoga Allah merahmati usaha kita. Amin!.




ya betul
ReplyDeletebak kata ustaz, bende remeh ni yg menyulitkan mencapai makam khusyuk dlm solat, tak solid daripada niat dan ritualnya
ibarat terlebih ambil air masa berwuduk