Friday, August 31, 2012

MERDEKA!


MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke 55 kepada para nelayan sekelian. Rasa malas dan muak nak berbicara soal merdeka, terlalu dipolitikkan. Kerajaan dan pembangkang pun sama saja, keterlaluan mengotori semangat kemerdekaan yang seharusnya menjadi titik-temu perpaduan rakyat, terutamanya MELAYU.

Kadang-kadang hati tergeletek untuk mencoret soal politik di halaman blog ini. Namun cepat tersedar akan kebusukkannya. Biarlah kita bicara soal lain, lebih-lebih lagi hal-hal akhirat. Mudah-mudahan Allah terus mengasihani kita dan melimpahi rahmat kurniaanNya kepada rakyat Malaysia.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!


RUMAH TERBUKA DATO' FAUZI


Kesempatan berhari raya di rumah Dato' Mahmod Fauzi Hj Saad & Datin Khairiyah amatlah mengujakan. Bukan setakat teruja dengan beraneka hidangan bertaraf 5 bintang, tetapi juga dengan kehadiran beberapa nelayan bersama keluarga.

Agak terkilan kerana ada seorang ahli hardcore KNK tidak dapat menghadirkan diri kerana 'meragam'. Apa yang meragam, para sahabat kena tanya tuan punya badan sendiri.

Seperti yang tertera digambar, ahli KNK yang hadir adalah:
  1. Johan Halid + 5
  2. Rusly Hassan + 1
  3. Saad Ramli + 6
  4. Zul Mispan
  5. Zaha
  6. Din Bird
Kami mengambil tempat duduk bersebelahan kolam renang sambil mengisi mulut dan telinga. Manakala ahli keluarga terpaksa melayan diri masing-masing dan beramah mesra sesama mereka.

Thursday, August 30, 2012

HASIL BKT KEMUNING 29 AUGUST 2012



Nilai Ikan
RM27/sekor
No
Nelayan
Score
Ikan
Hasil (RM)
1
Hj Rusly Hassan
92
3
82
2
Johan Halid
94
2
54
3
Dato’ Rosenan
94
1
27
4
Zulkifli Mispan
99
1
27
5
Mohd Saad Ramli
102
0
00
6
Zainal Azahar
105
2
54
7
Farid
105
0
00
8
Md Diah
106
0
00
JUMLAH
9
244


Selamat Datang kepada ahli baru kita, En Md Diah. Nasibnya kurang baik kerana sekor ikan pun tak masuk pukatnya. Diharapkan beliau tidak serik dan sudi bersama kita dipertemuan yang akan datang.

Peringatan: Pertemuan di Danau, Bangi pada hari Rabu minggu depan 05 September 2012.

Wednesday, August 29, 2012

BKT KEMUNING GOLF & COUNTRY CLUB


Cadangnya nak memukat kat Bkt Kemuning petang ni, tapi ntah le... Kurang respon, masih beraya kut. Atau mungkin ramai yang dah kering.

Walau bagaimana pun pancing tetap pancing. Harapan pada Tuan Hj Rusly mencari 2 lagi kaki pancing untuk menampung kekurangan.

Hardcore yang pasti ada ialah:

  1. Dato' Rosenan
  2. Zulkifli Mispan
  3. Zainal Azahar
  4. Hj Rusly
  5. Johan Halid
  6. Saad Ramli (maybe)

Tuesday, August 28, 2012

LENYAPNYA KERIANGAN AIDILFITRI, BEBAN HUTANG MENANTI


Harap sahabat-sahabat kita tidak terjebak dengan fenomena beban hutang akibat dari terlalu ghairah membuat persediaan aidilfitri tahun ini. Apa sebenarnya yang kita cari dalam aidilfitri sehingga sanggup ambil risiko berhutang? Adakah ianya keperluan atau semata-mata kemahuan nafsu?

Keperluan ada batasnya, tetapi jika diturutkan kemahuan, langit ke 7 belum tentu hadnya.

Maka, tepuk dahi tanya hati,
"Hidup ini untuk mencari keredhaan Allah atau penghargaan manusia?"

Jangan lupa pertemuan kita di Bkt Kemuning pada 29 Ogos 2012 (11 Syawal 1433) Rabu jam 1.30pm. Bawa umpan mencukupi!

Monday, August 27, 2012

RAMADHAN MENINGGALKAN KITA ATAU KITA MENINGGALKAN RAMADHAN?

Selamat Hari Raya dan bertemu kembali...

Bermula hari ini, blog KNK kembali beroperasi setelah bercuti raya untuk beberapa hari. Seperti tajuk di atas, pikir pikirkanlah sendiri. Terdapat 3 golongan insan dalam situasi yang dipersoalkan tersebut.

  1. Golongan yang sedih dan sayu dengan pemergian Ramadhan dan ingin terus istiqamah melakukan peribadatan dan perkara-perkara baik sepertimana yang dilakukan sepanjang Ramadhan. Amat berharap akan bertemu lagi Ramadhan pada tahun hadapan, berdoa dipanjangkan umur, sihatkan tubuh badan dan limpahan rezeki.
  2. Gembira dengan kedatangan Syawal dan lega dengan pemergian Ramadhan. Raya bersungguh-sungguh dengan tangkapan Ramadhan akan datang masih jauh. Tidak perlu berlapar, bertarawih dan bersedekah. Ramadhan adalah beban bagi golongan ini. Peribadatan dan perkara-perkara baik sepanjang Ramadhan ditinggalkan, lalu kembali kepada perangai lama tanpa rasa segan. Jadilah mereka golongan yang beribadah ikut-ikutan serta puasa Ramadhan hanya sekadar adat semata-semata.
  3. Apa, Ramadhan dah habis? Golongan ini tiada terkesan lansung dari pemergian Ramadhan. Ianya sama dengan bulan-bulan yang lain. Hidup mereka hanya untuk dunia, tiada puasa, tiada tarawih, telahan pula solat, tetapi mereka mengaku Islam. Malah lebih banyak maksiat dibuat ketika Ramadhan. Contoh, tiada judi di kampung dibulan-bulan lain, datangnya Ramadhan tumbuhlah pulau-pulau perjudian. Tiada pernah ke SPA, di situlah tempat beristirehat dibulan Ramadhan dan berbagai lagi.
Tepuk dahi tanya hati, kita di golongan mana?


Sebelum itu, jangan lupa tinjau jadual pemukatan KNK untuk Ogos dan September ini. Saya tambahkan PAGE "Jadual" di atas bagi memudahkan kita merancang lebih awal. Kerjasama dan maklumbalas awal amatlah dihargai.

Ahli KNK yang mendapat jemputan ke Rumah Terbuka Dato' Fauzi pada 30 Ogos, jangan lupa berkomunikasi agar kita tiba serentak.

Wednesday, August 22, 2012

Salam Syawal

Assalamualaikum...

Lemang Baling dibakar di Batu Pahat
Baru sampai dari kampung dan akan bergerak semula ke kampung. Dari Batu Pahat singgah sebentar di KL dan akan ke Baling pula. Hebat! Macam orang muda...

Moga sahabat semua sihat wal afiat dan bahagia di hari raya bersama keluarga. Harap dapat bersabar menunggu pengaturan pemukatan kita seterusnya setelah berehat lebih dari sebulan. Ikan-ikan telah kegemukan dan merindui kehadiran kita.

Saya bercadang akan mengusulkan jadual bulanan bagi pertemuan-pertemuan kita agar senang para nelayan membuat perancangan awal dan tidaklah sering terkejar-kejar serta tidak dapat memukat dengan aman.


Jadual tersebut akan saya post kan di sini pada hujung minggu nanti. Jadi, untuk pertemuan pada minggu ini saya harap dapatlah disusun sendiri sesama sahabat kerana saya akan berada di utara sehingga Ahad.

Wasalam....

Friday, August 17, 2012

28 RAMADHAN

Salam Ramadhan buat pembaca setia blog ini. Coretan pada hari ini mungkin yang terakhir bagi Ramadhan 1433 kerana saya akan pulang ke kampung sebentar nanti. Maklumlah kampung di pendalaman dan tiada liputan internet. Pak Rais terlupa hal kampung saya kerana beliau hanya nampak kampung-kampung di Daerah Jelebu sahaja untuk diberi kemudahan Kampung Wifi. Tetapi itu bukanlah isu untuk saya membencinya, lagipun Pak Rais berada di selekoh terakhir karier politiknya dan masih cuba untuk bertahan.



Sesungguhnya tiada guna kita membenci orang politik, kerana mereka diperlukan untuk menguruskan negara. Tanpa mereka, siapa pula nak kita harapkan? Walaupun kekadang mereka dengan sengaja menyerlahkan kebodohan dan ketamakan dalam menyelenggara harta rakyat. Hak memilih di tangan kita, jangan hanya pandai bersuara ketidakpuasan, gunakan hak tersebut sebaiknya.

Namun setelah hampir 55 tahun Malaysia merdeka, ramai rakyat yang telah sebati dengan propaganda politik yang disogok saban masa. Agenda utama politik tempatan adalah untuk meraih undi sokongan semasa pilihanraya tidak kira dari parti mana pun semata-mata untuk mendapat hak memerintah. Agenda ini tersirat bagaikan tersurat sehinggakan kanak-kanak kecik pun dapat membezakannya.

Akibat dari lemahnya kebergantungan hidup kepada Allah, tuan punya negeri, negara dan alam ini, maka ramailah yang termakan agenda kotor para penggiat politik ini. Untuk menjayakan agenda mereka, ditunjangkan 2 kategori pemikiran kepada rakyat.

  1. Pengundi mendapat habuan! Mengundi untuk mendapat faedah dunia bagi diri sendiri, anak-anak dan keluarga terdekat. Jika ramai yang memilih mereka, kemudahan diberi seperti jalan bertar, paip air, elektrik, sekolah dan lain-lain. Jika tidak, susahlah sedikit pembangunan tersebut untuk sampai. Tanpa sedar itulah ugutan. Sedangkan tanggungjawab sebenar ahli politik membela kehidupan rakyat tanpa syarat. Itu amanah Allah! Fenomena ini berlanjutan tahun ke tahun, pilihanraya ke pilihanraya di setiap pelusuk negara. Apabila hampir kepada ketika mereka memerlukan undi, maka sibuk jugalah mereka menabur budi kononnya mereka bertanggungjawab. Rakyat yang dungu pun tahu itu taktik orang politik, tetapi apakan daya setelah berpuluh tahun telinga dan mata didendang dan dilayur begitu, ia bagaikan sudah menjadi hakikat bahawa orang politik inilah yang membawa kemajuan. Maka lahirlah rakyat dari kalangan pengundi yang keluar mengundi hanya untuk kepentingan peribadi, keluarga dan suku-sakat, bukan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. Mengundi dengan syarat 'apa yang kami dapat?'
  2. Pemimpin dapat memberi habuan! Pemimpin menampilkan gaya pembela yang dapat menyelesaikan keperluan rakyat dalam hal-hal remeh dan duniawi, Setiap kali kepedulian ditunjukan, media propaganda mestilah mewar-warkan perkara tersebut secara meluas dengan ayat-ayat mengagung keperihatinan pemimpin. Rakyat tahu sandiwara pemimpin. tetapi apakan daya setelah berpuluh tahun didendang dan dilayar sebegitu rupa, sehingga menjadi hakikat bahawa pemimpin tersebut memang ikhlas membantu, menjadi tempat bergantung harapan dan ikon popular. Sedangkan tanggungjawab pemimpin ialah memimpin rakyat ke arah kebaikan, keharmonian dan kemakmuran dengan membuat perancangan serta keputusan yang tepat walaupun tidak popular tanpa kepentingan peribadi. Otak manusia memang dapat diasah dengan diulang-ulang senario yang sama. Jadi rakyat yang terdakyah keluar mengundi pemimpin tersebut, bukan pemimpin yang bijaksana, tegas dan berani kerana benar. Mereka memilih pemimpin dengan syarat 'apa yang dia dapat beri?'


Tetapi apabila kita punya tauhid yang utuh, aqidah yang kental, kita tidak heran dengan dakyah mereka. Kita berdiri atas landasan Islam dan bergantung harap kepada Allah SWT. Kita tidak takut habuan kita hilang kerana aqidah yang bertunjang dalam sanubari mengatakan semuanya dari Allah. Semuanya akan selamat selagi kita berpegang kepada tali Allah, lagipun dunia hanya sekejap, akhirat kekal abadi. Apa yang kita mahu?

Mengharap habuan Allah atau menagih habuan dari manusia? Mencari keredhaan Allah atau penghargaan manusia? Mana yang lebih mulia dan bernilai?

Sampai di sini...

Maafkan hamba andai terdapat sebarang kesilapan dan kekhilafan di mana-mana sepanjang kehidupan ini. Semua yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu atas kedunguan dan kehinaan hamba sendiri.


Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin! Jumpa lagi...

Thursday, August 16, 2012

27 RAMADHAN

Hamba mohon maaf banyak-banyak kerana hari ini, Ramadhan ke 27, hamba tergelincir sedikit. Sekarang 1.20pm sudah masuk waktu Zohor hamba masih belum siapkan tazkirah. Pagi tadi terlajak tidur keletihan hinggakan tidak bersahur. Apakan daya, hamba  manusia hina yang lemah tiada daya. Hanya Allah Maha Perkasa dan Pengatur Alam semesta.

Hmmm.. Mana pergi idea untuk coretan hari ini? Kacau! Namun berbanyak syukur, Ramadhan inilah saya mampu menulis dalam tempoh yang panjang secara berterusan. Allah berikan kekuatan dan ketekunan untuk saya mencari bahan, mengolah dan memaparkan di sini untuk tatapan para sahabat yang tergerak melayarinya. Adakalanya saya perlukan sepanjang malam sehingga waktu sahur untuk menyelesaikan satu 'posting', dan adakala juga hanya 15 minit telah selesai. Tetapi, ke mana lari idea hari ini?

Seorang sahabat muda memberanikan diri menurunkan komen semalam. Terima kasih Yusof. Uncle akan cuba menghuraikan persoalan yang diajukan di lembaran lain. Cuma di sini dicoret secara am dan ringkas.


Sebenarnya tiada penyataan Syariat versus Hakikat kerana kedua-duanya perkara berbeza dan saling bergantung. Contoh, lembu versus rumput, mana mungkin, tetapi lembu memerlukan rumput dan rumput perlukan baja lembu. Tiada penentangan antara keduanya bagi mereka yang sudah faham apa itu syariat dan apa itu hakikat. Permasalahan timbul apabila kita tidak tahu apa itu Syariat dan Hakikat dari sudut definasi bahasa, umum, naqli, aqli, hukum, sejarah dan sebagainya.

Kita ringkaskan lagi, Syariat lebih kepada metadologi, arahan, hukum, perbuatan fizikal dan lain-lain yang kita panggil hukum syarak. Solat, puasa, zakat, haji, muamalat dan munakahat, hudud dan qisas dan lagi. Manakala Hakikat, Iman! Soal hati, tawadduk, taqwa, khusyuk dll. Ilmu hakikat yang paling tinggi adalah TAUHID. Ilmu tauhidlah yang menentukan Aqidah kita Islamiyah ke tidak. Betul aqidah kita, betullah Syariat.


Tidak perlu beri perhatian tentang penentangan-penentangan begitu yang bukannya membawa kebaikan. Mengenal Allah adalah HAKIKAT, menyembah Allah adalah SYARIAT. Andainya kita tidak mengenali Allah, ibadah yang kita lakukan selama ini untuk siapa? Puasa sepanjang Ramadhan sekadar sebagai ikutan, solat sia-sia, zakat membazir dan haji setakat melancong. 5 rukun Islam, 4 adalah syariat (arahan solat, puasa, zakat & haji - soal perbuatan), 1 hakikat (Syahadah - soal keyakinan hati).

Panjang ceritanya, tetapi hari dah tinggi, hamba perlu bergegas menyelesaikan beberapa perkara dunia setelah selesai Zohor.

Sebelum berundur, Allah memuliakan kita atas 3 prinsip:
  1. TAUHID
  2. TAHARAH
  3. IBADAH
Tauhid adalah Hakikat, Taharah adalah Fardhu 'Ain manakala Ibadah adalah Syariat.

Kita bincang lagi....

Wednesday, August 15, 2012

26 RAMADHAN

Alhamdulillah, hari ini masuk hari yang ke 26 kita berpuasa Ramadhan pada tahun 1433H. Ada masalah? Tak ada pun kan! Cuma di hujung bulan puasa ni, masalah yang timbul bukannya sebab puasa tetapi sebab nak raya. Hahaha...

Semalam 25 Ramadhan, beberapa ahli KNK dan keluarga berjaya bertemu sambil berbuka puasa di Holiday Inn Glenmarie dalam sausana kelam-kabut awalnya, tetapi tenang di penghujung. Biasalah apabila kita berbuka di hotel, berbagai gelagat manusia menghadapi makanan. Ahli KNK tetap tenang dengan ciri-ciri orang beriman.

Gambar-gambar semalam dari hp saya amat teruk kualitinya maklumlah hp cap ayam. Jadi kita tunggu email Tuan Hj Rusly dari kameranya untuk gambar yang lebih baik. Tetapi tengok jugalah yang cap ayam ni...







Balik dari berbuka semalam, saya sempat bertemu seorang sahabat dan berbincang beberapa perkara. Rupanya beliau juga ada mengikuti perkembangan blog KNK kita. Jadi beliau sarankan agar saya bincangkan satu topik yang mudah dan menarik untuk dikongsi dengan pembaca-pembaca lain.

Topiknya adalah, ADAKAH KITA BERADA DI LANDASAN ISLAM YANG BETUL?

Kebanyakan kita lahir Islam, tetapi adakah kita mengamal Islam yang sebenarnya atau kita telah tergelincir dan sekarang hanya meluncur atas landasan adat kebiasaan hidup Melayu Malaysia?

Bagaimana kita mahu tahu samada kita benar-benar berada di atas landasan Islam? Hanya hati kita yang tahu. Apabila hati kita sedar kita berada di luar landasan, maka kita perlu mencari ilmu bagaimana boleh kita berada kembali di landasan Islam. Hati?

Tanda aras atau 'benchmark' samada kita di landasan Islam sebenar atau tidak, ialah renungkan kehidupan kita sendiri di dunia ini. Bagaimana layaran bahtera kita? Lancar, aman, badai namun tenang atau kelam-kabut, hiruk-pikuk, tunggang-langgang? Andainya kita susah harta benda tetapi memadai meneruskan hidup tanpa terlibat dengan pencariaan rezeki yang ragu-ragu, masih tenang menghadapi dugaan dan cabaran keduniaan, tidak fakir melarat, tidak meminta-minta, aman dan tekun melakukan ibadah... Sesungguhnya kita benar.

Namun, jika kita fakir melarat, hidup dengan bantuan, anak-anak bermasalah, rumah tangga goncang, rezeki tidak memadai, tiada masa beribadat atas desakan dunia, sering runsing, banyak musuh... Kita bermasalah dengan Allah!

Andai pun kita banyak harta dan tiada masalah kekehendak duniawi, renunglah bagaimana ketenangan hati, keadaan hubungan kekeluargaan, jiran, sahabat, anak-anak dan ibadah. Hati aman, keluarga aman, kita aman, maka akhirat pun akan aman.

Bukan tepuk dada tanya selera, tetapi tepuk dahi tanya hati. Mohonlah selalu kepada Allah moga hati kita dilimpahkan taufik dan hidayah untuk berada di landasan Islam. Banyakkan mohon keampunan dari Nya, dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Benchmark Allah telah mengampunkan kita, kita tidak lagi berulang melakukan perkara terlarang dan istiqamah dalam ibadah.

Renung-renungkanlah hati kita hari ini.....

Tuesday, August 14, 2012

25 RAMADHAN

5 hari lagi Ramadhan akan meninggalkan kita dan sausana raya telah mula menular di segenap tempat. Menjelang hari raya, berbagai episod kehidupan akan bergerak selari dan berbeza-beza bagi setiap insan. Amnya, hari raya adalah hari bergembira, namun rasanya lebih 'stressed' dari aman bahagia. Lebih masalah dari ketenangan.

Ini semua hanya dihadapi oleh insan yang hidup tertumpu kepada dunia. Nipis keimanan kepada hari akhirat walaupun percaya kepada hari akhirat adalah rukun iman. Percaya tanpa ada keyakinan inilah yang membawa kepada pelbagai musibah, bukan setakat di dunia, malah sudah pasti di akhirat.

Nasihat para ulamak berulang kali saban tahun, bagaimana menghadapi hari raya. Berpada-pada, sederhana, berjimat, hanya kerana Allah, tetap istiqamah, terus beribadat, elakkan melampau dan berjela-jela... Kesannya?




Mercun tetap berdetum, Jalan Tunku Abdul Rahman padat, lebuhraya sesak, kemalangan jalanraya silih ganti, isteri merajuk, suami mengamuk, ah long ketawa, tiket bas habis, lemang beratur tepi jalan, taukeh cina letih mengulang ke bank, apa lagi? 1001 macam!

Kelakarnya, ada yang baru nak sedih teringat kaum keluarga tersayang yang sudah meninggal dunia, sedangkan berbulan-bulan sebelumnya terpadam terus dari ingatan. Baru teringat kubur... di mana ya?



Paling malang, masjid makin sunyi...

Itu kisah nak raya yang hanya terdapat di Malaysia. Jangan tengok macamana orang Iraq, Lebanon, Afganistan, Syria atau Palestin menyambut raya. Mereka serba kekurangan dalam sausana perang. Cuba kita lihat bagaimana rakyat Arab Saudi, Turki, UAE, Qatar dan negara-negara Islam lain yang kaya raya, ada macam kita?

Sesungguhnya kita dipaksa mengikut trend yang telah sebati dalam masyarakat. Andai kita mahu berubah, kita akan dimarahi isteri, ibu, kakak, ipar duai dan seluruh keluarga terutama yang perempuan. Pendek kata, raya di Malaysia simfoninya dimainkan oleh kaum wanita, kaum lelaki menjadi mangsa menyediakan budget, walaupun berat. Tambahan pula kita yang telah setengah abad ini, apa yang dicari pada hari raya? Kebanyakannya lepas solat sunat hari raya, balik makan dan terus terbungkam tidor. Itu yang paling seronok bagi kaum lelaki macam kita.

Tetapi apakan daya kaum perempuan yang memerintah di hari raya. Kaum lelaki malas bergaduh dan bertegak, hasilnya jadi pak turut dengan muka macam cencurut sembelit. Terpaksa memandu dari KL ke selatan kemudian ke utara pula, mau terputus urat pinggang. Sayangkan bini, ikut ikutkan juga.


Pikir-pikirkanlah wahai kaum lelaki, sampai bila nak jadi begini? Jawapannya, selagi biarkan bini begitu begini...

Hehehe...

Jangan lupa kawan-kawan, hari ini kita berbuka puasa di Holiday Inn Kuala Lumpur, Glenmarie Shah Alam. Harap dapat tiba 6.30pm dan sempatlah kita mengumpat benda yang baik-baik dahulu sebelum tiba waktu berbuka. Adalah lebih baik bercerita pasal golf dari cerita tentang lansir, sofa, kueh, balik kampung, kereta dan perkara-perkara yang mengikis kaharmonian fikiran.


Sejuk mata memandang

Akhir sekali,
Ada duit hari-hari kita raya, tak ada duit hari raya pun tak boleh raya!

Monday, August 13, 2012

24 RAMADHAN

Seharian semalam sibuk dengan persiapan anak dara saya yang akan bertolak ke US pada jam 11.30pm. Kesibukkan tersebut telah melalaikan saya dari menyediakan bahan untuk dicoretkan di sini bagi mengisi 24 Ramadhan.

Selepas Asar kami bertolak ke KLIA dan pegawai-pegawai JPA yang bertugas telah sedia menunggu untuk proses terakhir pengaturan penerbangan. Beberapa sessi 'briefing', penyerahan passport dan boarding berlanjutan sehingga pukul 9.30pm. Kami sekeluarga sempat berbuka di Secret Recipe tingkat 5 KLIA.

Akhirnya, dengan perasaan sedih dan gembira kami menemani beliau melepasi 'boarding gate'. Keyakinan pada dirinya teserlah dengan langkah dan lambaian yang makin lama makin jauh serta hilang dari pandangan. Adiknya yang bongsu tidak dapat menahan kesedihan perpisahan ini dan tanpa segan silu menangis terisak-isak.




Moga Allah memberi perlindunganNya...

*********************************************
Namun bagi memenuhi ruangan tazkirah Ramadhan hari ini, saya catatkan sedikit perkongsian tentang perkataan 'Sembahyang' dan 'Solat' yang saya dengar dari tazkirah Maghrib di Masjid Kota Damansara seketika dahulu.

Hampir kebanyakan umat Islam hari ini tidak terlepas daripada menggunakan istilah "Sembahyang" yang merujuk kepada "Solat." Tetapi pada hakikatnya, istilah "Sembahyang" mempunyai maksud atau pengertian yang terdapat unsur "Syirik."


Professor Hasbi As Siddiqi di dalam salah satu bukunya, membahas perkataan "Sembahyang." Katanya; "Sembahyang di ambil daripada perkataan "Sembah" dan "Hyang" yang merujuk kepada nama dewa yang disembah oleh penganut Agama Hindu dahulu kala. "Sembahyang" juga diertikan sebagai "menyembah berhala yang bernama Hyang."

Dua pakar Bahasa Indonesia, yang salah seorangnya pernah datang ke Malaysia, mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu Dr Daniel juga telah mengesahkan bahawa istilah "Sembahyang" merujuk kepada "menyembah dewa yang bernama Hyang."

Orang Buddha pergi ke Tokong, Orang Hindu pergi ke Kuil dan Orang Kristian pergi ke Gereja menggunakan istilah "Sembahyang," terserahlah kepada mereka, kerana memang terdapat unsur "Syirik" dalam ibadah mereka. Tetapi Umat Islam, Tidak sesuai sekiranya, "Solat" juga diistilahkan sebagai "Sembahyang", yang mana pada asalnya kata sembahyang itu merujuk kepada "menyembah dewa bernama Hyang."

Kalau boleh ubahlah ayat seperti seorang ibu mengarahkan anaknya bangun untuk menunaikan Solat Subuh. "Bangun nak, Sembahyang Subuh," kepada "Bangun nak, "Solat Subuh." Solat lebih tepat istilahnya.

Mungkin sebahagian daripada kita, akan menganggap bahawa hal ini adalah remeh dan tidak begitu penting asalkan nawaitu dan hati kita betul. Namun bagi mereka yang mempunyai kesedaran dan mementingkan kualiti ibadah, akan sentiasa berhati-hati dan mengambil perhatian akan hal seperti ini.

SEBARKAN . . . Semoga Allah merahmati usaha kita. Amin!.