Saya terpanggil untuk mengenengahkan artikel ini apabila seorang sahabat bercerita tentang isterinya melontarkan soalan, "Ramai orang Melayu rajin dan kuat berpuasa tetapi tidak pernah solat. Macamana tu?
Amalan puasa orang tidak solat mungkin akan rosak dan tidak diterima oleh Allah Maha Pencipta. Ini kerana ibadah lain hanya akan ‘dilihat’ oleh-Nya selepas ibadah solat. Bersesuaian dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A daripada sabda Rasulullah:
“Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat ialah sembahyangnya. Jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah dia".
Kiranya terkurang dari sembahyang fardunya sesuatu, Tuhan berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengan apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.”(HR at-Tirmizi)
Walau bagaimanapun, jangan terkejut jikalau para pembaca terdengar bahawa ramai umat Islam yang berpuasa tetapi meninggalkan kewajipan solat! Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh sebuah institut kajian dan penyelidikan Islam di Malaysia, 70 - 80% mereka yang berpuasa hari ini tidak menunaikan solat (Halim Din, 2012). Ini kerana mereka merasakan kewajipan 5 kali sehari itu payah untuk dilaksanakan meskipun nilai ketinggian seorang hamba di sisi Allah ‘dilihat’ daripada kesempurnaan solat mereka.
Untuk menghisab ibadah lain, ibadah solatlah yang akan dihisab terlebih dahulu. Jikalau tidak solat, manakan mungkin ibadah lain akan ‘dilihat’-Nya. Akan tetapi, alangkah malangnya umat hari ini, beriya-iya berpuasa, tetapi tidak solat. Mereka berkemungkinan besar hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.
Jahil, Lawannya Belajar!!
Persoalan tentang berpuasa, tetapi tidak solat sering kali menjadi keraguan yang membelengu masyarakat kita hari ini selain beberapa perkara yang dilihat sebagai remeh membabitkan ibadah puasa seperti sama ada kentut dan mengorek telinga itu membatalkan puasa. Keadaan ini jelas menunjukkan orang Islam kian jahil perihal agama. Puncanya adalah sikap ambil mudah selain malas belajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang mengeluarkan diri daripada kegelapan.
Sepatutnya.. sebelum kedatangan Ramadhan lagi, umat Islam sudah mula bersiap-sedia menelaah bab puasa termasuk perkara yang membatalkan dan ‘mengkerdilkan’ puasa seperti yang digariskan al-Imam al-Ghazali dalam kitab tasaufnya. Jikalau tidak mampu, tanya sahaja kepada mereka yang tahu. Ini penting kerana kita tidak mahu tergolong dalam kalangan sebagaimana yang dikhabarkan oleh Rasulullah;
“Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” (HR Ibnu Majah)
Kalau Nak Buat Sesuatu, Mesti Ada Ilmu!!
Disebabkan malas belajar, nilai ibadah kini dilihat lebih sebagai adat atau amalan ikut-ikutan sahaja dan bukannya sebagai suatu amalan yang diwajibkan oleh Allah yang semestinya punyai hikmah serta bermatlamatkan untuk mendapat barakah. Sebagai contoh, jemaah solat Tarawikh, minggu pertama masjid meriah dengan jemaah. Namun masuk minggu kedua, ke mana perginya mereka yang ramai itu?! Pelik bin ajaib!! Ish ish ish!! Apa yang lebih mendukacitakan, ketika akhir Ramdhan, bunyi mercun dan lagu raya lebih kuat kedengaran hingga sudah tidak mempedulikan Tarawikh, Takbir, Tahmid dan Selawat!! Apabila kita langsung tidak ambil peduli ilmu, inilah yang berlaku, amalan hanya sebagai ikut-ikutan.
Firman Allah S.W.T.:
"Apakah sama orang-orang yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?"(az-Zumar: 9)
Jika umat Islam mempelajari asas fardhu sesuatu ibadah, mereka akan melaksanakan ibadah itu dalam keadaan ‘mengetahui’, bukannya secara membabi buta. Maka tidak kira apa yang datang, ia tidak sedikit pun akan mengganggu gugat ibadah mereka.
Ilmu akan memacu umat Islam ke hadapan dan dalam aspek ibadat, mereka boleh melihat peningkatan dari sudut kualiti ibadat serta sentiasa berusaha memastikan ibadat itu dalam keadaan sempurna supaya diterima oleh-Nya.
“Jadilah hamba kepada Allah, bukan hamba kepada Ramadhan.” (Dr Yusuf al-Qardhawi)
p/s - Saya akan bercuti menulis sehingga Isnin ini kerana pulang ke kampung mengziarahi ibu dan ayah di Baling. Harapan agar perjalanan saya selamat pergi dan balik serta dapat menulis lagi pada hari Selasa nanti.


No comments:
Post a Comment
Terima kasih, komen anda amat dihargai...