Tuesday, July 31, 2012

11 RAMADHAN

Sambungan...


Ya, walaupun al Quran ditolak oleh kebanyakan manusia yang bermula daripada keluarga Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri di kota Makkah pada peringkat awalnya, Allah tetap dengan rahmat dan kasih sayangNya ke atas umat baginda. Allah telah memilih segolongan manusia untuk menerima, mencintai dan menjunjung al Quran ul karim. 
Golongan itu adalah mereka yang memiliki sifat taqwa di dalam hatinya atau digelar al muttaqin.
الم .ذلك الكتاب لا ريب فيه .هدى للمتقين
Maksudnya; “Itulah al kitab (al Quran) yang tiada ragu-ragu padanya (ia daripada Allah) yang menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa.” – al Baqarah;1-3
Golongan inilah yang bermula daripada para sahabat baginda sendiri رضوان الله عليهم telah menjadikan al Quran sebagai petunjuk kehidupan. Mereka telah membina diri, keluarga, masyarakat bahkan tamadun kemanusiaan dengan mengambil isi dan inspirasi al Quran.
Justeru, khulasahnya, tiadalah persediaan dan bekalan terbaik untuk menyambut al Quran dan menerimanya sebagai teman kehidupan selain memiliki sifat taqwa. Dengan sifat yang mulia ini, al Quran akan bertakhta di dalam diri kita. Beruntunglah mereka yang diterima al Quran sebagai temannya.
Apabila anda memahami ini, maka lihatlah bagaimana Allah, selain menerangkan kebesaran dan peranan al Quran, Dia juga menunjuki kita bagaimana untuk memperolehi nikmat berdampingan dengan al Quran dan menjadi kekasih al Quran. Ia adalah dengan memiliki sifat taqwa. 
Bagaimana memiliki sifat mulia ini? Bukankah ia suatu yang sukar dan memerlukan mujahadah yang besar dan istiqamah yang tinggi?
Ya, tetapi Allah telah memudahkannya dengan memperkenalkan satu kaedah yang mampu dilaksanakan oleh setiap manusia. Kaedah itu adalah dengan ibadah berpuasa yang memuncak dengan kefardhuannya di sepanjang bulan Ramadhan. Setahun sekali sebagai satu riadah intensif yang akan mencambah sifat taqwa secara cepat dan paling berkesan.
Puasa adalah pengekangan terhadap kekuasaan nafsu ke atas diri manusia dan pendidikan terhadap nafsu agar tidak melampaui batasan iman. Nafsu hakikatnya menjadi penghalang besar manusia menuju Allah dan menyembahNya. Apabila nafsu dibiarkan menguasai tubuh, maka ruh dan taqwanya akan tenggelam dan terlindung. Kerana itulah manusia akhirnya gagal memahami keagungan al Quran al karim.
Maka di bulan Ramadahan yang mulia ini, terhasillah satu pembinaan yang hebat dan satu perayaan yang cukup membahagiakan.
Perhatikan, Ramadhan dimuliakan kerana penurunan al Quran di dalamnya. Kemudian disyariatkan ibadah puasa di dalamnya agar bercambahlah sifat taqwa di dalam diri manusia. Taqwa pula adalah satu-satunya cara untuk mendampingi al Quran dan menjadi temannya. Maka terhasillah di bulan yang mulia ini satu perayaan buat kekasih al Quran.
Berjayalah orang-orang yang mengambil al Quran sebagai sumber utama kehidupan mereka. Selamat menjunjung al Quran di bulan Ramadhan yang mulia ini.
Besok, mari kita bicara tentang soal lain pula...


Monday, July 30, 2012

10 RAMADHAN

Saya sengaja tidak menyambung kisah semalam, kerana tertarik dengan artikel Dr Asri ini. Mari kita selusuri catatannya yang menarik mengenai realiti masyarakat kita berperangai di bulan Ramadhan tahun demi tahun.


SEMANGAT RAMADHAN
Siyam ataupun puasa dalam bahasa Melayu bermaksud menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya dalam waktu yang ditetapkan. Dari segi makan minum, perbezaan bulan Ramadan dibandingkan selainnya ialah bulan Ramadan muslim dilarang makan dan minum serta perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Ertinya, syiar ataupun suasana Ramadan bukanlah suasana pesta makan, sebaliknya ia adalah suasana muslim tidak makan melainkan hanya pada waktu malam. Namun, keadaan yang sebaliknya kadang-kala berlaku dalam kehidupan kita dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Jika seseorang bukan muslim yang tidak tahu menahu tentang Ramadan, datang ke negara kita dan melihat kemeriahan makan dan minum yang wujud, lalu kita memberitahu dia bahawa ini bulan puasa bagi muslim, tentu sukar dia mempercayainya. Ertinya, dia akan gagal melihat suasana puasa yang sebenar.

Jangan Berlebihan
Kita seakan mengujudkan satu keadaan yang mengurangkan ataupun melonglaikan syiar ataupun semangat Ramadan (ruh Ramadan/the spirit of Ramadan) yang patut dibina. Orang berpuasa yang tidak makan dan minum, bukan kerana dia sakit sehingga tidak dapat makan dan minum, ataupun kerana ketiadaan makan. Sebaliknya, kerana dia mematuhi arahan Allah. Kita yang berpuasa ini sebenarnya dididik oleh syariat Islam untuk menahan diri melakukan sesuatu yang dilarang sekalipun kita berkemampuan melakukannya. Inilah antara tarbiyyah Ramadan kepada jiwa insani. Maka, semangat ini sepatutnya dibawa terus apabila kita berbuka. Kita makan dan minum dengar kadarnya. Tidak berlebihan. Bukan kerana kita tidak mampu terus makan, ataupun tidak mampu membeli, tetapi kerana mematuhi arahan Allah: (maksudnya) “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebih-lebihan”. (Surah al-`Araf:31).

Moga semangat ataupun roh Ramadan ini dapat dibawa ke dalam amalan hidup kita. Kita cuba menahan diri dari melakukan larangan Tuhan, sekalipun kita mampu. Bukan kerana tidak berpeluang tetapi kerana roh yang dididik dan nafsu yang ditundukkan. Demikian juga agar kita tidak berlebihan ataupun melampaui batasan yang patut dalam sesuatu perkara. Tidak fanatik. Tidak berlebihan menghukum pihak yang berbeza. Tidak berlebihan dalam kemewahan. Tidak berlebihan dalam hiburan dan seterusnya. 

Jangan Bid’ah
Demikian juga tidak berlebihan dalam ibadah sehingga terkeluar batasan yang patut, ataupun melakukan bid’ah dalam ibadah. Justeru, kita berpuasa dan berbuka. Sesiapa yang terus ingin berpuasa selepas masuk berbuka dia telah melakukan bid’ah. Dia tidak mendapat pahala sekalipun niatnya baik ingin mendapat pahala. Sebaliknya dia mendapat dosa kerana telah melanggar batasan yang ditetapkan, ataupun kaifiyat (cara) ibadah yang telah Allah tentukan. Dia menokok tambah apa yang tidak ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Seakan ajaran Allah dan RasulNYA itu tidak memadai. Ia seakan sikap tidak puas hati terhadap Islam yang asal.

Demikianlah sepatutnya roh ini dihayati dalam ibadah yang lain agar kekal cara yang asal yang ditunjukkan Nabi s.a.w. Sehingga baginda Nabi s.a.w mengingatkan kepada mereka yang ingin beribadah melebihi kadar yang baginda tunjukkan bahawa dia akan terkeluar dari menjadi pengikut baginda. Lihat reaksi Nabi s.a.w kepada mereka yang berkata: “Adapun aku, maka akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang lain lagi: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan bernikah selama-lamanya.”Maka Rasulullah s.a.w datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa kepadaNya dalam kalangan kamu. Namun, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia bukan dari kalanganku.” (Riwayat al-Bukhari).


Jaga Pahala 
Demikian semangat Ramadan juga menuntut untuk kita berusaha menjaga pahala puasa kita agar tidak berkurangan. Demikian sepanjang hidup kita patut berusaha mengelakkan ucapan dan perbuatan yang mengurang pahala. Ini kerana ramai orang yang beramal tetapi kehilangan pahala kerana terbabit dengan dosa terhadap orang lain. Nabi s.a.w mengingatkan kita dalam hadis baginda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Sunday, July 29, 2012

09 RAMADHAN




Bulan Ramadhan bulan al Quran
Allah, saat memfardhukan ke atas hambaNya puasa di bulan Ramadhan, terus saja memahamkan mereka akan kelebihan bulan tersebut. Bulan Ramadhan dipilih untuk menjadi sebuah taman iman buat para hambaNya kerana ia mengandungi satu peristiwa besar yang tidak boleh dilupakan dan dialpakan oleh setiap insan yang beriman. 
Peristiwa besar itu ialah penurunan kurniaan nikmat Allah yang paling agung iaitu al Quran sebagai petunjuk ke atas seluruh manusia yang dipenuhi keterangan-keterangan yang jelas yang mengandungi hidayat dan pembeza kebenaran daripada kebatilan.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدىً لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Maksudnya: “Bulan Ramadhan adalah bulan di dalamnya diturunkan al Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan dipenuhi penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan al furqan (perbezaan antara kebenaran dan kebatilan). – al Baqarah: 185

Nikmat Allah ke atas manusia tidak terkira. Samada manusia itu bersyukur di atas nikmatNya atau tidak, Allah dengan sifat rahmanNya itu terus menebarkan  kurniaanNya ke atas seluruh makhluk dunia ini, sebelum mengkhususkannya hanya untuk mereka yang beriman sahaja di akhirat nanti. Adapun orang-orang yang kufur, nikmat dan rahmatNya akan terhenti di dunia sahaja.
Bagaimana nikmat itu terhenti dan putus? Dan bagaimana pula nikmat itu terus bersambungan sehingga ke akhirat? Ya, ia tergadai dan terikat dengan nikmat al Quran tersebut. Barang siapa yang beriman dengan al Quran dan hidup berpandukan al Quran, maka al Quran hadir di sisinya saat ia kembali ke alam baqa’. Al Quran menjadi pelindung dan hujah buatnya menagih kasih sayang dan rahmat Allah. 
Adapun mereka yang kufur, segala nikmat di dunia akan terhenti sebaik sahaja kematian menyentapnya. Tanpa al Quran di sisinya, kegelapan dan malapetaka buatnya di akhirat nanti. Tiada lagi erti segala nikmat yang diperolehinya di dunia dulu. Ia kosong yang penuh tipudaya syaitan.

Justeru sayugialah nikmat penurunan al Quran di bulan Ramadhan sebagai petunjuk menuju akhirat itu tidak dilupai oleh manusia. Ia mesti disyukuri dengan sesungguhnya. 
Malangnya, kebanyakan manusia tidak mensyukuri nikmat al Quran, malah mereka menolaknya dan melemparkannya ke belakang mereka. 
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Maksudnya: “Dan berkata al Rasul (Muhammad); Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah mengabaikan al Quran.” – al Furqan:30
Saat manusia menolak kehadiran nikmat teragung ini, siapakah kalangan hambaNya yang menyambut al Quran dengan penuh kegembiraaan dan kesungguhan?
bersambung..

Friday, July 27, 2012

08 RAMADHAN


Ibadah puasa difardhukan oleh Allah dengan matlamat yang cukup penting bagi setiap insan yang beriman kepada Allah iaitu untuk memperoleh taqwa. 
Taqwa adalah sifat hati yang dengannya seseorang mukmin memiliki pengenalan, kemampuan dan kekuatan untuk mengelak diri daripada terperangkap dengan godaan dunia yang melalaikan. Sifat tersebut mampu menjadi takar bagi membezakan perkara baik dan buruk serta berupaya menjauhi perkara yang haram dan melalaikan.
Bagaimana ibadah puasa membibitkan dan mencetuskan sifat taqwa? Mari perhatikan keadaan berikut yang akan membantu orang yang berpuasa;
1) Orang yang berpuasa sanggup meninggalkan kebiasaan hariannya seperti makan, minum, jima’ dan kalam yang melalaikan semata-mata kerana ingin bertaqarrub kepada Allah. Ini adalah dorongan ketaqwaan. Ia melakukannya kerana Allah, bukan kerana menjaga kesihatan, diet, adat dan apa-apa tujuan selain ibadah.
2) Orang yang berpuasa sentiasa melatih dirinya bermuraqabah (merasai kehadiran Allah yang melihatnya) sepanjang masa dengan mengharapkan pahala (ihtisab) daripadaNya. Sifat dan amalan muraqabah adalah jalan terdekat menghimpunkan hati yang bercelaru dengan sifat taqwa.
3) Orang yang berpuasa akan menyukarkan laluan syaitan memasuki tubuhnya. Syaitan berkuasa, dengan izin Allah, menyelinap ke segenap urat anak Adam untuk meracuni dan memperdayakannya. Berpuasa, laluan menjadi sempit dan sukar. Tambahan pula dengan syaitan iblis diikat pada bulan Ramadhan yang mulia ini, pengaruh sinar akal dan ruh akan membenihkan dan mencambahkan sifat taqwa di dalam diri orang yang berpuasa.
4) Orang yang berpuasa akan terdorong untuk menambahkan amal taat yang lain. Ini berlaku disebabkan semangat yang tinggi untuk memperkasakan kesan ibadah puasanya agar diterima Allah. Ibadah taat seperti membaca al Quran, berzikir, solat yang lebih khusyu’ dan berkebajikan sesama muslim adalah antara pemangkin menuju ketaqwaan.
5) Orang yang berada dan murah rezeki, melalui ibadah puasa, akan merasai keperitan lapar dan dahaga yang merajai kehidupan orang-orang miskin. Ia membibitkan rasa insaf dan perihatin untuk membantu setiap insan dalam kesusahan. Mencintai orang-orang miskin dan amalan kebajikan sesama makhluk Allah adalah antara sifat orang-orang yang bertaqwa.
Begitulah amalan puasa yang begitu berkesan membibitkan sifat taqwa di dalam diri kita. Justeru sayugialah, demi puasa yang dimakbul oleh Allah dan tidak tersia-sia, kita menjernihkan keikhlasan dengan putih berseri dan memalarkan amalan kita dengan kehijauan penuh berseri.
Salam menuju Lailatul Qadr..


07 RAMADHAN


Matlamat puasa
Imam al Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulumiddin (1/212) mengulas mengenai ibadah puasa melalui uslubnya yang istimewa. Beliau berkata;
“Matlamat ibadah puasa adalah berakhlak dengan salah satu daripada akhlak Allah ‘azza wajalla, iaitu kekuatan dan kekentalan (الصمدية) dan menuruti para malaikat Allah dalam mengekang diri sedaya upaya daripada nafsu syahwat. Sesungguhnya mereka itu disuci bersihkan daripada nafsu syahwat.
Manusia pula martabatnya di atas martabat haiwan dek kemampuannya melalui sinar akalnya untuk mengawal nafsu syahwatnya itu. Tetapi dia di bawah martabat para malaikat dek nafsu syahwat yang menguasainya dan dia diuji oleh Allah untuk bermujahadah menguasai nafsunya itu. 
Setiap kali manusia tewas dan tenggelam di dalam kubang nafsu syahwatnya, maka dia telah jatuh ke lembah kehinaan yang paling bawah dan bersama-sama di dalam kebuasan binatang. Tetapi setiap kali dia berupaya mengekang nafsunya itu, maka dia telah naik ke atas ke tingkatan paling tinggi dan bersama di ufuk para malaikat Allah.”
Imam Ibnu al Qayyim pula di dalam kitabnya, Zaad al Ma’ad ( 1/152) pula menambah; 
“Dan matlamat ibadah puasa adalah menahan diri daripada nafsu, mengikatnya daripada melakukan perkara-perkara kebiasaan dirinya dan membetulkan kekuatan tenaga syahwatnya. Ini agar dia lebih bersedia untuk mara menuntut perkara yang akan menjadi kemuncak kebahagian dan kenikmatan dirinya, serta siap sedia menerima sifat-sifat yang akan menjadikannya bersih untuk kehidupan abadinya. 
Lapar dan dahaga melalui ibadah itu akan memecahkan ketajaman nafsunya dan mengingatkannya dengan jiwa-jiwa yang kelaparan daripada kalangan orang-orang miskin. Ia juga akan menyempitkan laluan buat syaitan menguasai diri hamba Allah dengan menyempitkan laluan makanan dan minuman, di samping menyekat kekuatan anggota jasadiah dari bebas bergerak secara tabi’inya yang boleh memudaratkan dirinya dalam kehidupan dunia dan tempat kembalinya nanti. 
Puasanya itu akan dapat menenangkan setiap anggota tubuhnya dan setiap kekuatan dalam tubuhnya daripada keinginan yang melampau. Ia memegang pada tali kekangnya. Puasa menjadi tali kekang bagi orang yang bertaqwa, perisai bagi tentera mujahadah dan satu latihan bagi golongan al abrar dan al muqarrabin (yang rapat hubungannya dengan Allah).”
Penjelasan oleh dua ulama agung Islam di atas cukup menggambarkan kebesaran pensyariatan ibadah puasa ke atas umat Islam di bulan Ramadhan.
Selamat berjaya menjalani ibadah rukun yang agung ini dengan sempurna. Semoga Allah meredhai kita dengan kurniaan sifat taqwa dan iman.


Thursday, July 26, 2012

06 RAMADHAN


Sambungan....
Justeru Allah tunjukkan kekuatan sebenar Nabi Adam عليه السلام kepada para malaikatNya melalui penggunaan akal yang disiapkan untuk menuju ke alam atas, alam malakut dan kesucian melalui kecintaan dan kedambaan kepada ilmu dan makrifat. Akhirnya para malaikat sedar dan akur dengan kelebihan kurniaan Allah kepada Nabi Adam.
Manusia bukan malaikat kerana kekangan nafsu yang menariknya ke alam tanah dan haiwan. Manusia juga bukan seperti haiwan kerana ruh dan akalnya sentiasa melonjakkannya untuk menikmati kemuliaan dan kemanisan makrifat alam atas yang lebih indah. 
Berlaku pertarungan di dalam tubuh manusia, sesuatu yang tidak berlaku ke atas para malaikat dan juga haiwan. Saat manusia menemui kenikmatan, kemanisan dan kemuliaan hidup dengan ruh sehingga mencetuskan segolongan yang menindas jasad dan menyiksanya dengan berlapar, memenjarakannya daripada nikmat jasadiah dan melarikan diri ke hutan demi mencapai tahap kemalaikatan. Lahirlah dunia kependetaan yang terputus daripada kehidupan duniawi.
Sudut yang berlawanan pula malah lebih dominan, manusia menjunam ke bawah, berkubang di longkang nafsu kehaiwanan dan kesyahwatan melampau sehingga melintasi garis kebinatangan. Mereka saling berbunuhan sesama sendiri, menindas yang lemah dan melakukan kerosakan di bumi melalui variasi pelbagai cetusan nafsu serakah kebinatangan yang tidak terkawal lagi.
Pertolongan Allah datang melalui perutusan Rasul yang memperkenalkan kaedah pemulihan diri yang paling hebat yang menepati kehendak dan kelayakan manusia sebagai seorang makhluk bergelar khalifahNya yang unik. 
Ia adalah ibadah puasa. Ia kemudiannya tambah memuncak dengan pensyariatan kefardhuan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia. 
Lapar adalah senjata mendidik nafsu agar beriringan dengan ruh untuk memakmurkan kehidupan. Manusia, setinggi mana keupayaannya melonjak ke atas, dia tidak boleh menjadi malaikat kerana tugasnya adalah berbeza. Manusia adalah khalifah Allah yang memikul amanah besar di muka bumi. Manusia mesti hidup di bumi.
Namun manusia tidak boleh bermaharajalela di bumi dengan sifat kehaiwanan sehingga lupa peranannya beribadah kepada Allah dan menyertai gerombolan kemuliaan dan kesuciaan makhluk Allah di alam malakut.
Melalui ibadah puasa yang terpimpin oleh disiplin agama yang khas, manusia akhirnya menemui kebahagiaan sebenar yang dicari-cari dalam kehidupannya.
Selamat menjalani ibadah puasa di bulan mulia ini.
Bersambung....


Wednesday, July 25, 2012

05 RAMADHAN


Ramadhan penuh dengan isi dan kurniaan Allah. Paling agung adalah ibadah berpuasa yang menjadi rukun dan tiang ugama Islam. 
Kebesaran ibadah puasa begitu jelas sehingga kita sering memanggil bulan Ramadhan itu sebagai bulan puasa. Sehinggakan pula, ia kadang-kadang menjejaskan peluang kita untuk melihat kelebihan isi-isi lain di bulan Ramadhan yang juga besar rahsianya.
Bagaimanakah ibadah puasa itu dipilih Allah sebagai rukun agama yang wajib kita sempurnakan? Apakah hikmah tersembunyi sehingga ia menyamai ibadah solat dan haji yang begitu jelas bentuk dan cara perlaksanaan kedua-duanya di dalam menunjukkan rasa ketaatan dan ketundukan kepada Allah yang tertera pada sujud, ruku’, tawaf, sa’ie dan seumpamanya? Bukankah puasa itu lapar dan dahaga? Lapar dan dahaga itu meletihkan, manakala letih itu mencambahkan rasa malas dan lesu. Bukankah rasa malas dan lesu itu mendorong untuk meninggalkan ibadah?
Itulah zahirnya, kerana kita melihat dari sisi yang senget dan serong.
Para ulama telah memperincikan hikmat yang pelbagai berdasarkan kefahaman dari pengajaran al Quran dan Sunnah Rasul صلى الله عليه وسلم, juga pengalaman menakjubkan hasil ibadah puasa yang dilaksanakan.

Salah satu penjelasan yang menarik adalah;
Pelbagai makhluk Allah diciptakan samada bercirikan sifat atasan, kelangitan dan kemalaikatan atau ia bercirikan sifat bawahan, ketanahan dan kehaiwanan. Apabila Allah memulakan penciptaan manusia melalui penciptaan Nabi Adam عليه السلام, maka ia adalah penciptaan yang unik dan yang pertama kali!
Nabi Adam memiliki ciri langit dan ciri tanah. Ciri malaikat dan ciri haiwan. Ia adalah gabungan unsur ruh dari kehidupan di langit dan unsur jasad daripada tanah dari kehidupan di bumi. Ruh memiliki ciri-ciri ketinggian dan sifat-sifat ketuhanan. Ia mendambakan ibadah, kesucian, kemuliaan, kekuatan, keamanan dan kerahmatan. Manakala jasad pula memiliki ciri-ciri lemah dan kenafsuan. Ia mendambakan keseronokan menggali kenikmatan di bumi, mengisi nafau perut, nafsu serakah seks dan paling meruncing, ketamakan dan kekuasaan di muka bumi.
Keunikan inilah yang gagal difahami oleh para malaikat saat Allah memperkenalkan ciri kejadian makhluk baru yang akan memegang amanah kekhalifahan di muka bumi. Malaikat melihat Adam sebagai memiliki sifat-sifat gelora kebinatangan yang suka membunuh dan merosakkan kehidupan. Ia terlupa kelebihan dimiliki Adam yang terserlah pada makhluk langit bernama ruh.
Bagaimana Adam dan zuriatnya memikul amanah agung ini? 
Bersambung..


Tuesday, July 24, 2012

04 RAMADHAN


Sebelum Muhammad di angkat menjadi Rasul, masyarakat Arab mengenali bulan ini sebagai RAMADAN dengan huruf 'د'. Ia bermaksud "menempa besi'. Pada bulan ini orang-orang Arab akan mula bertukang menempa besi untuk dibuat pedang. Pedang ditempa adalah bagi persediaan berperang pada bulan Syawal. Peperangan antara kaum di sekitar tanah Arab adalah untuk menguasai laluan-laluan perdagangan dan perjalanan para jemaah ke Mekah pada setiap bulan Zulhijjah.

Setelah Muhammad menjadi Rasul dan tertegaknya agama Tauhid, Ramadan ditukar menjadi RAMADHAN dengan penggunaan huruf 'ض'. Ganti huruf ini merubah maksud menjadi "bahan bakar". Apa ertinya semua ini?

Ramadhan adalah bulan Allah. Di dalamnya terkandung segalanya. Ia memiliki sumber untuk insan membina katauhidan, kekuatan spiritual, keyakinan diri dan kelimpahruahan rahmat Allah. Puasa dari aspek kerohaniaan adalah melatih diri bukan sahaja ketahanan fizikal tetapi kekukuhan tauhid, kekentalan mental dan kebijaksanaan mengurus harta benda. Allah memberi ruang untuk manusia yang beriman bermuhasabah diri, menjinakkan nafsu dan bersederhana. Peluang dan ruang yang Allah anugerahkan ini semata-mata untuk kita gunakan dalam kehidupan pada bulan-bulan akan datang. Ramadhan adalah bulan untuk kita sediakan bahanapi yang cukup bagi menghadapi perjalanan 11 bulan lamanya.

Jangan kita tertipu dengan fenomena kehidupan manusia pada harini. Ramadhan telah menjadi bulan pesta makanan, bulan bertuhankan duit dan bulan manusia menggantikan iblis yang dirantai.


Marilah kita gunakan ruang yang Allah sediakan di bulan Ramadhan ini dengan menilai diri kita sendiri. "Aku ini hidup sebagai hamba Allah atau sebagai hamba duit/kerja/keluarga?" Baikkah aku dengan Allah? Ingkarkah aku kepada Allah dalam banyak perkara? Kenapa Allah tidak kurniakan apa yang aku inginkan? Banyak lagi soalan yang boleh kita tanya untuk membangkitkan kesedaran kita yang selama ini mengaku sebagai seorang Islam.

Sedarkah kita bahawa dunia yang kita huni ini milik Allah? Jadi, kenapa kita harus sombong dengan tuannya, jika kita mahu senang dan bahagia? Contoh terbaik, bagaimana keadaan kita yang bekerja di sebuah syarikat, jika sering ingkar dan melawan pengarah-pengarahnya? Sudah tentu kita tidak lama di situ. Tetapi Allah Maha Penyayang, walaupun kita mengingkariNya, kita masih diberi peluang. Allah menerima taubat kita sebelum tiba masa kita dipindahkan ke planet lain.

Andainya hidup kita sekarang kelamkabut atau porak-peranda atau sering hanyut, persoalan berikut mungkin boleh memberi impak,

Kita melata di bumi ini kerana mencari pengiktirafan manusia atau mencari keredaan Allah?

Assalamualaikum!

Monday, July 23, 2012

03 RAMADHAN


Ramadhan menjelang lagi, tetapi kali ini dalam usia yang merapati senja. Sintom-sintom kesenjaan sudah mula terasa, sakit lutut, lengoh pinggang, sakit tengkok, semput dan sebagainya. Mungkin dengan sintom-sintom tersebut boleh membuatkan Ramadhan kali ini lebih beerti atau setidak-tidaknya kita redha kedatangannya.

Puasa dalam bulan Ramadhan adalah Fardhu A'in, wajib atas batu jemala setiap individu yang mengaku Muslim. Ianya bukanlah Fardhu Kifayah, jadi tidak payahlah nak menggembar-gemborkannya sangat. Kita jalani ibadah puasa ini dengan tawadduk, rendah diri, diam diri, kurangkan bercakap, jemaah di masjid dan yang paling penting, tenangkan hati, tenangkan fikiran dan tenangkan nafsu.

Sesungguhnya Alah telah mengurung iblis dan syaitan sepanjang bulan ini. Andainya kita masih berperangai lama dengan perkara-perkara yang dilarang, sedarilah bahawa kita bukan dihasut atau digoda syaitan untuk melakukannya. Sebaliknya kita sendiri yang telah menjadi iblis dan syaitan. Alangkah malangnya jika dosa yang kita lakukan adalah atas kehendak dan kerelaan sendiri, berbanding godaan dan dorongan syaitan.



Tenangkan hati dan fikiran dengan banyak beribadat (solat sunat & membaca Alquran) boleh membantu kita terlalai dengan kebiasaan maksiat sebelum Ramadhan. Keceluparan mulut, kedengkian fikiran, kesombongan tingkah dan kerakusan nafsu dapat dibendung serta mengukuhkan daya tahan diri dari iblis dan syaitan yang akan tiba sebaik Syawal menjelang.

Hati-hati kalau terpaksa ke Pasar Ramadhan, pesta yang dicipta oleh insan menggoda umpama iblis. Banyak buruk dari baik di sana....

Esok kita bicara tentang sejarah Ramadhan.

Friday, July 20, 2012

Ramadhan Al Mubarak


Yey yey.. esok posa!

Selamat menyambut Ramadhan dan ibadah puasa kepada semua para nelayan kita. Bak sabda Rasul, "ALLAH FIRST", maka seeloknya kita bercuti dari memukat di padang. Tumpukan kepada ibadah semata-mata kerana Allah. Bermuhasabah diri dengan apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun ini, adakah kerana ALLAH atau kerana DUNIA. Lagipun selama 11 bulan kita menyebokan diri dengan IKAN, tidaklah patut di dalam Ramadhan juga kita mahu mencari ikan. Sebab itulah salah satu terma & syarat KNK, Allah Fisrt.

Andainya diteliti, sepanjang 11 bulan yang lalu Allah tidak pernah lokek mengurniakan kita rahmatnya, mungkin kita yang alpa memperduli segala yang kita ada. Kita hanya tumpu kepada apa yang kita belum ada dan rasakan Allah tidak memberi rahmat yang sepatutnya. Dunia dan diri kita ini hakmilik Allah, baikkah kita kepadanya? Wajarkah kita dikasihaniNya? Renungkan kembali!

Samada kita bertaqwa atau tidak, Allah tetap dengan RAHMAN Nya, tetapi dapatkah kita RAHIM Nya? Sesungguhnya tiada guna Rahmat Allah tanpa diiringi RahimNya. Ramai manusia mengaut rahmat Allah dari sifat RAHMAN, hidup bermewahan wang ringgit harta benda, namun mengingkariNya, melupakanNya malah melawanNya. Mana mungkin Allah memberi RAHIM kepada hambanya yang lupa diri apabila diberi Rahmat.

Apa itu RAHIM? Sifat kasih sayang Allah! Tanpa RAHIM, hidup tiada pedoman, kelam kabut, keserabutan, masalah berpanjangan walaupun harta bertimbun. Itu di dunia, bagaimana pula di akhirat? Usah diperhaluskan lagi, TEPUK DADA TANYA HATI!

InsyaAllah, saya akan cuba memaparkan tazkirah setiap hari sepanjang Ramadhan ini bermula 3 Ramadhan untuk pedoman kita bersama. Tazkirah-tazkirah tersebut saya petik dari kitab-kitab karangan para ulamak muktabar, bukannya dari saya yang fakir ilmu ini. War-warkan kepada sanak saudara atau sahabat handai yang lain untuk sering melawati blog ini agar dapat kita sama-sama memeriahkannya kerana Allah.


Untuk memudahkan kita semua, saya telah letakan PAGE link Waktu Berbuka & Imsak di atas.

Sebelum itu, saya mohon ampun dan maaf dari para sahabat nelayan semua di atas segala ketelanjuran saya selama ini.

Wasalam..

Wednesday, July 18, 2012

Hasil Pemukatan KGPA 18 July 2012

Pemukatan hari ini adalah yang terakhir untuk KNK sebelum tibanya Ramadhan. 11 ahli berjaya hadir bersama memeriahkan acara.

Pemilihan KGPA adalah atas dasar terpaksa, kerana rancangan asal untuk memukat di Bkt Kemuning atau KGSAAS gagal akibat dari kepenuhan. Mungkin ramai pemain-pemain golf berebut bermain sebelum cuti berpuasa.

Alhamdulillah, pemukatan berlansung dengan lancar walaupun terhenti seketika dengan dentuman guruh dan kilat menguji kesabaran para nelayan menyauk ikan. Rintik hujan tidak sedikit pun menggoyah ketekunan nelayan kita menyebar jala, mengail, memukat dan mencandat sehingga ke lubuk terakhir. Hanya 3 nelayan terkonteng-konteng di bot yang ke 3.

Ramai dari ahli KNK yang tidak mampu hadir kerana punyai tanggungjawab lain yang lebih mustahak. Berbanyak maaf kepada Tuan Hj Termizi dan Tuan Hj Hassan yang hanya punyai ruang pada hari Selasa semalam andainya ingin bersama. Maaf juga kepada Dato' Fauzi yang berseorangan minum di Golfer Terrace dan tidak sempat bertemu. Terima kasih kepada Tuan Hj Rusly yang berusaha datang walaupun paginya telah menyabit di Monterez serta kepada En Rosman yang bergegas pulang dari Ipoh semata-mata untuk bersama kita.

Maafkan hamba kerana terlajak tulis meleret, GIAN!

SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADHAN ALMUBARAK, MOGA IBADAH PUASA KITA PADA TAHUN INI LEBIH BAIK DARI TAHUN-TAHUN YANG LALU DAN DIRAHMATI ALLAH SWT.

Keputusan hasil tangkapan hari ini:

Nilai Ikan
RM32/sekor
No
Nelayan
Score
Ikan
Hasil (RM)
1
Rosman Saad
86
3
96
2
Mohd Saad Ramli
92
0
00
3
Mejar Shafie Harun
93
1
32
4
Capt Shamsudin
93
1
32
5
Rusly Hassan
97
0
00
6
Zainal Hamidi
99
2
64
7
Johan Halid
100
2
64
8
Dato’ Rosenan Ibrahim
100
2
64
9
Zulkifli Mispan
105
0
00
10
Zainal Azahar
109
0
00
11
Capt Sobri Haniff
111
0
00
JUMLAH
11
352