Ramadhan menjelang lagi, tetapi kali ini dalam usia yang merapati senja. Sintom-sintom kesenjaan sudah mula terasa, sakit lutut, lengoh pinggang, sakit tengkok, semput dan sebagainya. Mungkin dengan sintom-sintom tersebut boleh membuatkan Ramadhan kali ini lebih beerti atau setidak-tidaknya kita redha kedatangannya.
Puasa dalam bulan Ramadhan adalah Fardhu A'in, wajib atas batu jemala setiap individu yang mengaku Muslim. Ianya bukanlah Fardhu Kifayah, jadi tidak payahlah nak menggembar-gemborkannya sangat. Kita jalani ibadah puasa ini dengan tawadduk, rendah diri, diam diri, kurangkan bercakap, jemaah di masjid dan yang paling penting, tenangkan hati, tenangkan fikiran dan tenangkan nafsu.
Sesungguhnya Alah telah mengurung iblis dan syaitan sepanjang bulan ini. Andainya kita masih berperangai lama dengan perkara-perkara yang dilarang, sedarilah bahawa kita bukan dihasut atau digoda syaitan untuk melakukannya. Sebaliknya kita sendiri yang telah menjadi iblis dan syaitan. Alangkah malangnya jika dosa yang kita lakukan adalah atas kehendak dan kerelaan sendiri, berbanding godaan dan dorongan syaitan.
Tenangkan hati dan fikiran dengan banyak beribadat (solat sunat & membaca Alquran) boleh membantu kita terlalai dengan kebiasaan maksiat sebelum Ramadhan. Keceluparan mulut, kedengkian fikiran, kesombongan tingkah dan kerakusan nafsu dapat dibendung serta mengukuhkan daya tahan diri dari iblis dan syaitan yang akan tiba sebaik Syawal menjelang.
Hati-hati kalau terpaksa ke Pasar Ramadhan, pesta yang dicipta oleh insan menggoda umpama iblis. Banyak buruk dari baik di sana....
Esok kita bicara tentang sejarah Ramadhan.


No comments:
Post a Comment
Terima kasih, komen anda amat dihargai...