Sunday, August 12, 2012

23 RAMADHAN

Hari ini 12hb Ogos 2012 (23 Ramadhan 1433), anak sulung saya akan berangkat ke Amerika Syarikat untuk menyambung pelajarannya dalam bidang EKONOMI. Beliau akan menuntut di University of Missouri, Columbia.


Saya amat berbangga dengan pencapaian dan kesungguhan dia dalam mengejar kecemerlangan ilmu walaupun perjalanan hidupnya tidaklah mudah. Semasa di tingkatan 2, institusi keluarga saya runtuh dan beliau sebagai anak sulung, adalah yang paling terkesan. Pelajarannya merosot teruk sehingga Guru Besar memanggil saya ke sekolah untuk berbincang maslahnya.

Rentetan gangguan emosinya berterusan sehinggalah pada pertengahan tingkatan 4 beliau berpindah sekolah di kampung ibunya. Mungkin dengan ketenangan kampung, dia dapat meningkatkan kembali usaha pembelajaran. Keputusan SPM amat memberansangkan dengan 9A dari sekolah luar bandar dan mungkin dengan alasan itu juga melayakkan beliau mendapat biasiswa JPA.

Hubungan dengan saya menjadi renggang semasa beliau berada di UNITEN untuk kursus persediaan sebelum ke Amerika. Kerenggangan itu berlaku akibat daripada 2 situasi yang sukar untuk diterima oleh remaja sepertinya. Pertama lebih menjurus kepada keadaan ekonomi saya yang sangat buruk di ketika itu dan kedua, saya berkahwin.

Walau bagaimana pun, keadaan sudah kembali pulih dan menjadi lebih erat berkat dari sabar, usaha dan keyakinan kita kepada Allah swt. Saya sangat-sangat bersyukur dengan rahmat Allah yang telah dilimpahkan ke atas saya dan keluarga.

Maaf kawan-kawan, cerita peribadi. Namun saya harap sedikit sebanyak mungkin dapat dijadikan pengajaran bagi kita meneruskan hidup ini.


Sungguhpun begitu, di sebalik pencapaian akedemiknya, ada juga perkara yang saya amat terkilan. Saya tidak berkeupayaan mendidiknya dalam bidang agama akibat dari keporak-perandaan kehidupan rumahtangga saya. Betapa lemahnya saya, betapa tidak bertanggungjawabnya saya dalam soal didikan agama ini. Kehibaan dalam soal ini memaksa saya bertekad untuk membetulkan diri saya kembali walaupun agak lewat. Doa saya tidak pernah lekang mohon Allah memberi hidayah, petunjuk dan perlindungan kepada anak dara saya ini agar menjadi seorang muslimah yang solehah.

Penerbangan beliau akan bermula dari KLIA, transit di Narita Tokyo, sambung ke Los Angeles sebelum mendarat St. Louis dan berkereta 2 jam lagi ke Missouri memakan masa hampir 24jam. Lihat dari jadual perjalanan anak saya ini, teringat kepada kata-kata Ustaz Azhar Idrus dalam salah satu ceramahnya. Kita mengembara beribu batu, naik turun tukar kapalterbang berkali-kali merentasi berpuluh buah negara, semata-mata mencari ilmu dunia untuk kegunaan hidup di dunia ini yang hanya sebentar sahaja. Untuk menuntut ilmu yang membolehkan kita kekal abadi di syurga, kita tidak sanggup bergerak walaupun hanya 100m atau 5 minit perjalanan dari rumah ke masjid.

Apabila direnung kembali, ke mana pergi usia aku 50 tahun yang lalu? Masih ada 50 tahun lagikah untuk aku di atas dunia ini? Mana mungkin! Mampukah aku 'recover' untuk melayakkan diri masuk syurga? Atau biarkan saja diri kita dicampak ke dalam neraka kerana telah 'give-up'? Mampukah kita hadapi siksaan neraka, jika kita tahu bahawa semua api yang ada di dunia ini hanyalah cebisan api neraka sebesar sebutir pasir sahaja?

Sesungguhnya jangan 'give-up' dan jangan rasa sudah terlewat. Allah masih memberi kita banyak peluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan Nya. Allah Maha Penerima Taubat!

Amin!


No comments:

Post a Comment

Terima kasih, komen anda amat dihargai...