Puasa bukan budaya
Sebanyak 89 kali
al-Quran memanggil dengan seruan ‘Ya ayyuha al-lazina amanuu’ ataupun ‘Wahai
mereka yang beriman’. Panggilan itu tidak menyebut nama khusus, tetapi menyebut
nilai yang dimiliki oleh pihak yang diseru. Apabila Allah memanggil ‘wahai
mereka yang beriman’ bererti sesiapa sahaja yang merasai dia tergolong dalam
kumpulan tersebut terpanggil untuk mendengar arahan dan mematuhinya. Sama
keadaannya apabila kita memakai pakaian berwarna tertentu, lalu ada orang memanggil
‘wahai semua yang memakai baju putih!, umpamanya. Sudah pasti kita akan menoleh
kepada yang memanggil dan melihat diri kita semula apakah kita yang dimaksudkan
itu. Setelah kita sedar bahawa kita memang memakai putih dan kita termasuk
dalam seruan itu maka kita pasti akan memberikan perhatian. Apatah lagi jika
panggilan itu dari pihak yang berjasa kepada hidup kita, yang kita sanjungi dan
hormati. Cuma yang menjadi masalah jika kita tidak sedar bahawa kita ini
memakai baju putih. Ataupun, kita sedar bahawa baju kita tidak putih, maka
seruan itu menjadi tiada berkaitan dengan kita.
Panggilan Iman
Apabila Allah
menyeru dalam al-Quran dengan panggilan ‘Wahai mereka yang beriman!’ maka kita
pun memerhatikan semula diri kita. Apakah kita ini termasuk dalam kalangan
tersebut ataupun tidak. Setelah kita pasti bahawa kita termasuk, maka kita pun
menunggu arahan yang seterusnya. Melainkan jika kita merasakan yang kita tidak
termasuk. Ataupun, jika terlupa bahawa kita ini tergolong dalam golongan itu.
Jika sampai terlupa, mungkin sudah terhakis banyak ciri tersebut.
Antara yang Allah
seru dengan panggilan “Wahai mereka yang beriman” ialah dalam arahan berpuasa
pada Bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya) “Wahai mereka yang beriman!
diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang
dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”. (Surah al-Baqarah 183).
Inilah titik tolak puasa setiap mukmin.
Setiap mukmin
berpuasa kerana panggilan ini. Mereka berpuasa kerana merasakan panggilan itu
membabitkan diri mereka. Mereka termasuk dalam seruan tersebut. Tidak kerana
orang ramai berpuasa, tidak kerana ia suatu budaya yang diamalkan (practised
culture) yang sudah menjadi kebiasaan yang dilakukan tanpa sedar tentang
hakikat dan nilai. Ia tidak sama seperti membuat ketupat dan rendang menjelang
hariraya. Itu budaya sesuatu bangsa yang diamalkan secara turun temurun tanpa
perlu berfikir sebabnya. Ia sekadar memeriah suasana hariraya bagi masyarakat
Melayu. Sementara masyarakat lain mempunyai budaya yang lain pula. Namun puasa
tidak demikian. Ia bukan budaya, tetapi ia satu arahan ibadah dari Maha Agung.
Jika ditakdirkan kita berada di suatu tempat ataupun zaman yang tiada siapa pun
yang berpuasa, kita tetap akan berpuasa selagi mana kita mengiktiraf bahawa
kita ini beriman kepada Allah.
Rentas Budaya
Jenis makanan dan
hidangan semasa berbuka puasa mungkin ada kaitan dengan budaya sesuatu bangsa.
Selepas sunat memakan rutab ataupun tamar, setiap bangsa mempunyai makanan
mereka yang tersendiri. Di sudut menu makan, orang Melayu mungkin lain dari
orang Cina dan India, Arab dan selainnya. Demikian juga bangsa-bangsa yang
lain. Namun arahan, peraturan dan ibadah sepanjang Ramadan itu tidak
berpaksikan budaya bangsa, ia merentasi setiap budaya dan setiap bangsa. Ia
untuk manusia yang berpaksikan Tuhan sekelian alam (Allahcentric).
Kemudian, betapa
bahagianya kita apabila merasakan seruan langit yang terkandung dalam Kitab
Allah al-Quran membabitkan diri kita. Betapa bangga untuk merasakan apabila
Allah memanggil ‘wahai mereka yang beriman’ diri kita ini termasuk dalam
panggilan itu. Bayangkan, betapalah ruginya mereka yang dipinggirkan dari
senarai panggilan yang mulia. Setiap orang berbangga apabila ada pihak
tertinggi lagi mulia memasukkan namanya dalam senarai yang dipuji. Betapa kita
merasa rendah diri dan kecewa jika ketika orang tersenarai dalam panggilan yang
dipuji, kita tidak dimasukkan. Demikian dalam menyahut seruan berpuasa ini, ia
satu kebanggaan. Ia menjadi satu kemuliaan sebagai hamba Allah yang mukmin.
Di samping itu, seruan tersebut juga telah menghubung kita dengan seluruh manusia lain yang memakai sifat yang sama iaitu ‘iman’. Di mana sahaja manusia yang kita temui, tanpa mengira budaya, bangsa, tempat dan keturunan akan berpuasa seperti kita. Mereka menyahut seruan yang sama. Seruan yang tidak bercirikan keturunan, bangsa, tempat dan budaya, sebaliknya hanya atas sifat yang sama iaitu iman. Ia merentasi segala sempadan keturunan, budaya dan tempat. Maka dengan itu menjelang Ramadan di mana sahaja kita berada, kita melihat mereka yang sama dengan kita di sudut keimanan kepada Allah menyahut seruan ini. Dengan persamaan ciri, ia dapat menautkan cinta dan kasih sesama mukmin. Pergi berada di mana sahaja di bumi ini, jika ada yang mukmin nescaya kita ada dapati dia berpuasa seperti kita. Maka kasih kita pun tertumpah kepadanya tanpa kita membataskan keturunan, budaya dan tempat!

No comments:
Post a Comment
Terima kasih, komen anda amat dihargai...