Salam Ramadhan buat pembaca setia blog ini. Coretan pada hari ini mungkin yang terakhir bagi Ramadhan 1433 kerana saya akan pulang ke kampung sebentar nanti. Maklumlah kampung di pendalaman dan tiada liputan internet. Pak Rais terlupa hal kampung saya kerana beliau hanya nampak kampung-kampung di Daerah Jelebu sahaja untuk diberi kemudahan Kampung Wifi. Tetapi itu bukanlah isu untuk saya membencinya, lagipun Pak Rais berada di selekoh terakhir karier politiknya dan masih cuba untuk bertahan.
Sesungguhnya tiada guna kita membenci orang politik, kerana mereka diperlukan untuk menguruskan negara. Tanpa mereka, siapa pula nak kita harapkan? Walaupun kekadang mereka dengan sengaja menyerlahkan kebodohan dan ketamakan dalam menyelenggara harta rakyat. Hak memilih di tangan kita, jangan hanya pandai bersuara ketidakpuasan, gunakan hak tersebut sebaiknya.
Namun setelah hampir 55 tahun Malaysia merdeka, ramai rakyat yang telah sebati dengan propaganda politik yang disogok saban masa. Agenda utama politik tempatan adalah untuk meraih undi sokongan semasa pilihanraya tidak kira dari parti mana pun semata-mata untuk mendapat hak memerintah. Agenda ini tersirat bagaikan tersurat sehinggakan kanak-kanak kecik pun dapat membezakannya.
Akibat dari lemahnya kebergantungan hidup kepada Allah, tuan punya negeri, negara dan alam ini, maka ramailah yang termakan agenda kotor para penggiat politik ini. Untuk menjayakan agenda mereka, ditunjangkan 2 kategori pemikiran kepada rakyat.
- Pengundi mendapat habuan! Mengundi untuk mendapat faedah dunia bagi diri sendiri, anak-anak dan keluarga terdekat. Jika ramai yang memilih mereka, kemudahan diberi seperti jalan bertar, paip air, elektrik, sekolah dan lain-lain. Jika tidak, susahlah sedikit pembangunan tersebut untuk sampai. Tanpa sedar itulah ugutan. Sedangkan tanggungjawab sebenar ahli politik membela kehidupan rakyat tanpa syarat. Itu amanah Allah! Fenomena ini berlanjutan tahun ke tahun, pilihanraya ke pilihanraya di setiap pelusuk negara. Apabila hampir kepada ketika mereka memerlukan undi, maka sibuk jugalah mereka menabur budi kononnya mereka bertanggungjawab. Rakyat yang dungu pun tahu itu taktik orang politik, tetapi apakan daya setelah berpuluh tahun telinga dan mata didendang dan dilayur begitu, ia bagaikan sudah menjadi hakikat bahawa orang politik inilah yang membawa kemajuan. Maka lahirlah rakyat dari kalangan pengundi yang keluar mengundi hanya untuk kepentingan peribadi, keluarga dan suku-sakat, bukan untuk kepentingan agama, bangsa dan negara. Mengundi dengan syarat 'apa yang kami dapat?'
- Pemimpin dapat memberi habuan! Pemimpin menampilkan gaya pembela yang dapat menyelesaikan keperluan rakyat dalam hal-hal remeh dan duniawi, Setiap kali kepedulian ditunjukan, media propaganda mestilah mewar-warkan perkara tersebut secara meluas dengan ayat-ayat mengagung keperihatinan pemimpin. Rakyat tahu sandiwara pemimpin. tetapi apakan daya setelah berpuluh tahun didendang dan dilayar sebegitu rupa, sehingga menjadi hakikat bahawa pemimpin tersebut memang ikhlas membantu, menjadi tempat bergantung harapan dan ikon popular. Sedangkan tanggungjawab pemimpin ialah memimpin rakyat ke arah kebaikan, keharmonian dan kemakmuran dengan membuat perancangan serta keputusan yang tepat walaupun tidak popular tanpa kepentingan peribadi. Otak manusia memang dapat diasah dengan diulang-ulang senario yang sama. Jadi rakyat yang terdakyah keluar mengundi pemimpin tersebut, bukan pemimpin yang bijaksana, tegas dan berani kerana benar. Mereka memilih pemimpin dengan syarat 'apa yang dia dapat beri?'
Tetapi apabila kita punya tauhid yang utuh, aqidah yang kental, kita tidak heran dengan dakyah mereka. Kita berdiri atas landasan Islam dan bergantung harap kepada Allah SWT. Kita tidak takut habuan kita hilang kerana aqidah yang bertunjang dalam sanubari mengatakan semuanya dari Allah. Semuanya akan selamat selagi kita berpegang kepada tali Allah, lagipun dunia hanya sekejap, akhirat kekal abadi. Apa yang kita mahu?
Mengharap habuan Allah atau menagih habuan dari manusia? Mencari keredhaan Allah atau penghargaan manusia? Mana yang lebih mulia dan bernilai?
Sampai di sini...
Maafkan hamba andai terdapat sebarang kesilapan dan kekhilafan di mana-mana sepanjang kehidupan ini. Semua yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu atas kedunguan dan kehinaan hamba sendiri.
Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin! Jumpa lagi...


+(1).jpg)


No comments:
Post a Comment
Terima kasih, komen anda amat dihargai...