Wednesday, July 25, 2012

05 RAMADHAN


Ramadhan penuh dengan isi dan kurniaan Allah. Paling agung adalah ibadah berpuasa yang menjadi rukun dan tiang ugama Islam. 
Kebesaran ibadah puasa begitu jelas sehingga kita sering memanggil bulan Ramadhan itu sebagai bulan puasa. Sehinggakan pula, ia kadang-kadang menjejaskan peluang kita untuk melihat kelebihan isi-isi lain di bulan Ramadhan yang juga besar rahsianya.
Bagaimanakah ibadah puasa itu dipilih Allah sebagai rukun agama yang wajib kita sempurnakan? Apakah hikmah tersembunyi sehingga ia menyamai ibadah solat dan haji yang begitu jelas bentuk dan cara perlaksanaan kedua-duanya di dalam menunjukkan rasa ketaatan dan ketundukan kepada Allah yang tertera pada sujud, ruku’, tawaf, sa’ie dan seumpamanya? Bukankah puasa itu lapar dan dahaga? Lapar dan dahaga itu meletihkan, manakala letih itu mencambahkan rasa malas dan lesu. Bukankah rasa malas dan lesu itu mendorong untuk meninggalkan ibadah?
Itulah zahirnya, kerana kita melihat dari sisi yang senget dan serong.
Para ulama telah memperincikan hikmat yang pelbagai berdasarkan kefahaman dari pengajaran al Quran dan Sunnah Rasul صلى الله عليه وسلم, juga pengalaman menakjubkan hasil ibadah puasa yang dilaksanakan.

Salah satu penjelasan yang menarik adalah;
Pelbagai makhluk Allah diciptakan samada bercirikan sifat atasan, kelangitan dan kemalaikatan atau ia bercirikan sifat bawahan, ketanahan dan kehaiwanan. Apabila Allah memulakan penciptaan manusia melalui penciptaan Nabi Adam عليه السلام, maka ia adalah penciptaan yang unik dan yang pertama kali!
Nabi Adam memiliki ciri langit dan ciri tanah. Ciri malaikat dan ciri haiwan. Ia adalah gabungan unsur ruh dari kehidupan di langit dan unsur jasad daripada tanah dari kehidupan di bumi. Ruh memiliki ciri-ciri ketinggian dan sifat-sifat ketuhanan. Ia mendambakan ibadah, kesucian, kemuliaan, kekuatan, keamanan dan kerahmatan. Manakala jasad pula memiliki ciri-ciri lemah dan kenafsuan. Ia mendambakan keseronokan menggali kenikmatan di bumi, mengisi nafau perut, nafsu serakah seks dan paling meruncing, ketamakan dan kekuasaan di muka bumi.
Keunikan inilah yang gagal difahami oleh para malaikat saat Allah memperkenalkan ciri kejadian makhluk baru yang akan memegang amanah kekhalifahan di muka bumi. Malaikat melihat Adam sebagai memiliki sifat-sifat gelora kebinatangan yang suka membunuh dan merosakkan kehidupan. Ia terlupa kelebihan dimiliki Adam yang terserlah pada makhluk langit bernama ruh.
Bagaimana Adam dan zuriatnya memikul amanah agung ini? 
Bersambung..


1 comment:

  1. Wahai para nelayan, marilah kita selusuri Ramadhan kali ini dengan penuh ketaqwaan. Moga kita semua dirahmati Allah.

    ReplyDelete

Terima kasih, komen anda amat dihargai...